



Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam
Sejarah Pembinaan dan Penubuhan Sekolah
Terletak di utara negeri Selangor, SBP Integrasi Sabak Bernam merupakan sekolah di bawah pengurusan Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Malaysia yang ke-41 daripada 69 buah sekolah di bawah pengurusannya.
​

​
Idea pembinaan sekolah ini hadir apabila pihak kerajaan berhasrat untuk membangun kawasan Sungai Lang di Sungai Air Tawar Selangor. Dato Sri Daim Zainuddin selaku Menteri Kewangan pada waktu itu melihat potensi kawasan ini untuk dimajukan sebagai bandar ilmu. Oleh itu dua buah projek pembangunan pendidikan telah diluluskan iaitu pembinaan sebuah sekolah menengah dan sebuah politeknik.
Gambar tahun 1999 menunjukkan kawasan tapak yang digazetkan untuk dibina sebuah sekolah dahulunya merupakan kawasan tanaman pokok kelapa sawit.
(Sumber: Google Earth Timelapse)

Dibina bermula pada tahun 2000 dan siap sepenuhnya pada tahun 2002, dengan menelan kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM36 juta. Pada awalnya sekolah ini dinamakan sekolah SMKA Sabak Bernam atau SEMERBAK dan diletakkan di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Islam.
​
Pada awal pembinaannya, sekolah ini telah dibina di atas tanah milik FELCRA yang kemudiannya diambil alih oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia. Dengan keluasan 40 ekar, hanya 32 ekar dibangunkan dengan prasarana manakala bakinya iaitu tanah seluas 8 ekar telah digazetkan sebagai tapak kem.
​
​
​
Dengan jarak 27 km daripada Pekan Sungai Besar dan dikelilingi kawasan perkampungan dan pertanian menjadikan sekolah ini sangat strategik dan mampu menghadirkan suasana yang tenang. Kedudukan sekolah ini dilihat sangat kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Suasana pendaftaran murid tingkatan 1 tahun 2002

Kelihatan murid-murid sedang khusyuk mendengar taklimat

Seorang murid bersama bapa dan guru kelasnya
Justeru pada bulan Julai 2002, pengambilan dan pendaftaran sulung murid-murid tingkatan satu telah diadakan. Seramai 76 orang murid yang berjaya melalui proses tapisan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah menerima surat tawaran masing-masing. Kemasukan ini menjadi titik tolak penting dalam perjalanan SBP Integrasi Sabak Bernam untuk mendidik anak bangsa sehingga hari ini.
​

Murid-murid sedang membaca surat Aku Janji
Barisan Pengetua
Dalam usia sekolah ini menghampiri 20 tahun penubuhannya, sekolah ini telah dipimpin oleh lima orang pengetua yang sangat berwibawa. Setiap pengetua mempunyai aspirasi dan mempunyai hasrat yang tinggi untuk melihat kejayaan SBP Integrasi Sabak Bernam supaya dapat berdiri megah bersama-sama dengan Sekolah Berasrama Penuh yang lain sama ada dari segi pencapaian Akademik, Kokurikulum mahupun Sahsiah muridnya. Berikut adalah, senarai lima orang pengetua yang pernah berkhidmat di SBP Integrasi Sabak Bernam.
​
-
Puan Hajah Nahyah Binti Atok
-
Encik Halim Bin Mansor
-
Tuan Haji Shaharudin Bin Haji Mydin
-
Encik Abdul Malek bin Haron
-
Puan Hajah Azizah Binti Mohd Adenan
Kebitaraan Sekolah

Pengurniaan Sijil Pengakap Raja
SBP Integrasi Sabak Bernam berjaya membuktikan kehebatannya juga setanding dengan sekolah berasrama yang lain apabila telah mencatatkan peningkatan yang konsisten sama ada dalam pencapaian akademik mahupun ko-kurikulum.
Oleh itu, untuk menghargai kerja keras semua pihak terutamanya warga sekolah, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyampaikan Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 4 2011 (Kebitaraan Bahasa Melayu dan Ragbi). Penganugerahan ini bukan sahaja berjaya menaikkan imej sekolah bahkan berjaya meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke SBP Integrasi Sabak Bernam.
